top of page

Jenaka Si Dukun - By Yuu Myieka

20 hours ago
13 min read

Written By: Yuu Myieka

Category: Short Story / Romance / Drama

Competition: Global Poetry and Creative Writing Competition 2026

In the Global Poetry and Creative Writing Competition 2026, Yuu Myieka presents "Jenaka Si Dukun." This captivating short story, penned under the writing name Jenaka Si Dukun, delves into the realms of romance and drama. Through a vivid narrative, Myieka explores the intricate dance between love, loss, and the haunting echoes of past lives. Set against a backdrop of wistful dreams and enigmatic encounters, the story invites readers into a world where the boundaries of reality and memory blur.

About the Work

"Jenaka Si Dukun" captures the essence of yearning and unresolved fate through its poignant storytelling. The narrative unfolds with rich imagery and emotive language, portraying a tapestry of emotions that range from joy to profound sorrow. With a touch of mystery, the story weaves a tale of a protagonist caught in dreams that bridge past and present, love and duty. The mood shifts seamlessly from serene to intense, reflecting the character's internal struggle and the weight of unfulfilled promises.

Jenaka Si Dukun

Original Submission by Yuu Myieka

Jenaka Si Dukun

Oleh Yuu Myieka

“Patik gemarkan suasana seindah senja ini.”

Suara wanita itu mendayu-dayu. Matanya menatap jauh ke ufuk. Di hadapannya terbentang pemandangan yang luas seakan kanvas gergasi yang melakar bara-bara terakhir pada hari itu. Cahaya matahari tenggelam sedikit demi sedikit di sebalik pinggir bumi, meninggalkan rona sulaman ungu kehitaman yang memukau di langit. Udara dingin mula menyapa di buku lalinya, membelai lembut gaun merah cenderawasih yang berkerawang dengan benang emas, menjadikan ia seperti menari-nari di kaki wanita itu.

Dia terhibur melihatkan ayunan gaunnya sendiri, lalu dicapai sebahagian tepi gaun itu dan mula berputar manja. Sambil tersenyum manis, dia menyambar tanganku, mengajak aku mengikut serta rentaknya. Tiupan angin senja semakin kencang, telapak tangan kami bercumbuan, tubuh kami saling bertautan dan kami seolah-olah terbang dibawa arus udara, jauh meninggalkan permukaan bumi di bawah kami.

Langit semakin menggelap. Pandanganku juga semakin kelam.

Linen terbakar menjadi abu. Tawa ceria diganti tangisan. Gaun yang dipakai wanita itu semakin pekat merahnya tatkala dibaluti darah dari seluruh tubuhnya. Sebentar tadi, telapak tanganku hangat memegangnya, kini ia terasa sejuk seperti ais. Aku tersungkur melutut di lantai batu yang licin dibanjiri cairan merah.

Wanita itu tetap di dalam pelukanku. Riangnya kini diganti dengan ketakutan. Dadanya berombak laju, selaju darah yang memancut keluar dari celahan luka di perutnya. Aku menekan luka itu sekuat hati. Usaha yang sia-sia yang hanya melencunkan jari-jemariku. Pekikkan suaraku yang memecahkan gemaan malam tak lagi aku kenali. Kerongkongku kesat menunggu harapan yang tak kunjung tiba.

Aku saksikan cahaya nyawanya yang semakin pudar ketika jarinya yang berlumuran darah menyentuh tulang rahangku dengan lemah. Dia berbisik halus, namun bisikan itu seakan berdentum memecahkan tempurung kepalaku.

Bisikan keramat yang pendek tapi melemaskan: “Selamatkan aku.”

Mataku terbeliak. Regangan jemariku kuat mencengkam tilam. Nafasku tercungap-cungap. Mataku meliar mencari-cari wajah wanita itu, hanya untuk aku sedar aku tak tahu siapa yang aku cari. Seriring detik berdetak, perasaanku dihempaskan dengan ombak kerinduan yang terlampau, rasa sesal yang mematikan jiwa dan desakan yang merunuhkan diri. Apa semua ini? Mindaku gagal memproses mana datangnya perasaan yang membingungkan ini.

Sebegitulah permulaannya dan sebegitulah pengakhirannya. Kadangkala wanita itu menyarungkan busana bangsawan serba mewah seakan dari hikayat lama istana kota. Kadangkala dia berkain sarung serba putih seperti sedang menghadiri acara pengebumian. Pada waktu lain pula, dia mengenakan gaun moden musim panas yang berkibar indah ditiup angin pantai.

Mimpi itu selalu bermula dengan sapa-sapa santai, gelak tawa dan usikan kecil, kemudian diikuti sentuhan-sentuhan yang menghembuskan nafas bahagia ke dalam diriku. Selepas itu, dengan kejamnya aku pasti dihancurkan. Rasa kehilangan, rasa tak berdaya untuk memanjangkan hayatnya walaupun sesaat merobek-robek jiwaku. Setinggi mana gunung kudaki, seluas mana hutan kutarah, sedalam mana lautan aku renangi, sebanyak mana darah yang kutumpahkan, nyawanya tetap terlucut dari genggamanku.

Sumpahan.

Akulah Sang Putera, satria yang gagal menyelamatkan puterinya, yang menyaksikan sang puteri terseksa dalam kematian demi kematian, melintasi ratusan tahun.

Aku tertanya-tanya siapa wanita itu. Aku rasa aku dapat melihat dia dengan jelas bila bermimpi, namun ia menjadi samar-samar bila aku berjaga. Aku tak dapat mengimbas kembali walau bentuk wajahnya atau tona kulitnya. Ada lesung pipit ke? Atau ada tahi lalat ke?

Apa yang jelas hanyalah serpihan-serpihan imej seperti cara dia bergelak ketawa. Bunyi ketawanya lunak. Atau cara dia bercakap. Melodi suaranya seperti mendendang lagu. Atau cara dia melangkah. Menapak sebesar dan selaju mungkin cuba mengejar aku. Yang mana, akibat terlalu kelam-kabut, kakinya tersadung. Aku pula yang cemas, akan memaut pinggangnya, mengelakkannya dari jatuh tersungkur.

Tiada ungkapan cinta antara kami, tapi saat itu adalah saat terindah dalam hidupku. Cebisan memori yang sanggup aku kejar merentas masa demi merasai kehangatannya sekali lagi.

Fikiranku diganggu dengan kelipan cahaya dari meja di sisi katil. Aku mencapai telefon pintarku dan tergelak membaca mesej yang masuk.

Lunch.

Seorang saja dalam dunia aku yang suka menggunakan perkataan ringkas. Aku bingkas bangun lalu menarik langsir. Sinar putih serta-merta merempuh masuk ke dalam ruang bilik tidurku. Aku memicingkan mata sedikit sebelum pandanganku menangkap kelibat yang sedang bersandar pada kereta Audi hitam diparkir di depan rumahku.

Jariku mula menari di atas skrin untuk membalas tapi aku batalkan niatku. Aku tersengih nakal. Heh, tak payahlah. Aku buka aplikasi muzik, kemudiannya melangkah ke bilir air.

Sedang pancuran dari shower membasahi kulit mukaku, bayang wanita misteri itu kembali ligat menerawang di fikiran. Terus aku mencapai telefon di sebelah singki, lalu mula menaip.

Nak lunch sama tak? Tempat biasa, pukul 2?

Beberapa tika kemudian, telefonku bergetar.

Gigi. Dessert jom?

Abang borek adik rintik. Mesti tak habis belajar kelas English ni.

Ok, Sayang. Jumpa nanti.

Cepat-cepat aku mandi, kenakan kemeja yang paling cantik, rapikan rambutku dengan gel, sembur sedikit cologne –aku tahu dia suka bau manis buah-buahan, dan sengih kepada pantulan aku sendiri di cermin. Aku nampak lelaki segak berambut merah, ada tahi lalat kecil di atas bibir kanan dengan dagu terbelah sedikit. Hem, handsome!

Aku melangkah keluar pintu saja, kelibat yang menunggu aku melambai dengan senyum sebesar tempayan. Bila aku merapatinya, dia membuka pintu kereta bahagian penumpang sambil membongkokkan sedikit badannya. Sebelah tangan diletakkan di dada. Aku mengeluh dalam hati.

“Aku bukan puteri, bukan juga budak kecik. Kau tahu kan?”

Dia mengangkat bahunya sedikit sambil menarik senget bibirnya ke pipi sebelah kiri.

“Ya, aku tahu sangat! Orang tua yang dah hidup lebih dua dekad!”

Aku mencebik dengan selorohnya. Macamlah umur kami berbeza sangat.

“Baiklah, Atok!”

Dia tergelak dengan sarkasme aku, sebelum menutup pintu kereta untuk aku. Kemudian, dia mengambil tempat duduk di depan stereng kereta, pakaikan tali pinggang untuk aku, sebelum memasang tali pinggang untuk dirinya sendiri. Kalau ikutkan, ini bukan perangai yang normal tapi aku dah hilang tenaga dan kudrat untuk membantah atau berdebat. Sudah sejak azalinya, itulah layanannya terhadap aku.

“Mawar kata dia ada appointment, so dia cuma boleh join dessert je nanti.”

Dia terdiam. Sekelip mata, riang wajahnya bertukar kepada ekspresi yang sukar untuk aku baca. Itu reaksi yang pada aku, sangat aneh, lebih-lebih lagi bila nama Mawar diungkap.

Dia mengangguk kecil. Aku dengar dia mengumam sendirian.

“Aku yang booked appointment dia.”

Apa maksudnya tu? Dia tak suka Mawar bersama aku? Aku boleh bagi seribu tepukan untuk sikap brother-complex dia tu.

Kami masih mempunyai masa sebelum tempahan makan tengahari, jadi aku mencadangkan pergi menonton wayang. Aku dah pun beli tiket sebelum Mawar mesej dia tak dapat datang untuk lunch. Menyedari keadaan itu, riak wajahnya kembali ceria. Wow, aku terpana. Dia memang benci Mawar dan aku bersama, ya?

Waktu untuk pencuci mulut hampir tiba, jadi dia membawa aku ke sebuah kafe kecil di tepi jalan besar. Bertentangan dengan kafe itu, terdapat sebuah tapak pembinaan baru. Jadi keadaan agak huru-hara, bingit dengan bunyi deruman enjin lori keluar masuk, ditambah dengan bunyi kren mengangkat besi, diselang-seli dengan paluan tukul besar berdentum di sana-sini.

Aku paparkan muka tak puas hati ketika berdiri di pintu muka kafe tersebut. Dia tersengih sumbing sambil telapak tangannya menolak perlahan belakangku.

“Kau mesti suka punya.”

Dan betul! Aku seperti diteleport ke hutan fantasi sebaik saja kakiku menapak masuk ke dalam. Aku tak tahu macam mana mereka mereka kafe ini, tapi satu bunyi bising pun tak berjaya menembus masuk. Udara yang menyapa hidung aku berbau segar, sesekali disulami dengan bau harum bunga-bungaan liar yang semerbak.

“Hem… ni cempaka ni, kan? Macam bau cologne kau.”

Dia mengangkat keningnya sebelah sambil bucu bibirnya ditarik sedikit mendengarkan kenyataan dariku. Suaranya yang garau direndahkan lagi satu nada.

“Yang membuatkan kau rasa selamat.”

Selamat. Serta-merta hatiku ditusuk. Mimpi ngeri pagi tadi berulang-tayang di kepalaku sekali lagi. Hancur luluh semangatku sewaktu aku tewas untuk selamatkan wanita di dalam dakapanku.

“Kenapa?”

Heh, dia memang peka. Aku rasa aku dah cuba sebaik mungkin untuk kawal riak yang aku paparkan. Aku berikan ketawa sumbang cuba menepis persoalan itu lalu memesan kopi. Kami mengambil meja di sebelah tingkap.

3:30 petang. Aku mula menggaul-gaul ais di dalam gelas kopiku dengan laju. Kakiku juga turut bergoncang tanpa henti. Aku lemparkan pandanganku ke luar tingkap.

“Mawar lambat…”

“Kau risau?”

“Kau tak risau? Dia kan… kau tahu ajelah, pantang lepa. Nanti ada je benda yang berlaku. Kau tak ingat? Yang minggu lepas dia terperangkap berjam-jam dalam lif tu. Kan bahaya!”

“Sebab tu ke, kau rasa kau perlu lindungi dia?”

Dia menekankan perkataan perlu. Bunyi sudu mendenting mag kopinya terberhenti. Serentak, aku berpaling menghadapnya. Renungan anak matanya sepanas bara membuatkan aku rasa langsung tak selesa. Genggamannya kuat mencengkam mag putih itu sehinggakan buku jejarinya turut bertukar putih.

Sekali lagi, aku saksikan ekspresi wajah yang mengundang pelbagai makna. Lelah dan lesu, dicarik dengan saratan duka dan lara, bertentangan sungguh dengan suasana kafe yang menenangkan ini. Hela nafasku membeku.

“Mawar tak perlukan Hero.”

Ayatnya mendatar. Nadanya teramat rendah, berbaur amaran. Hilang sudah suara lembut dan jenaka yang tak lekang dari mulutnya. Setiap kali dia begitu, aku memang mahu cabut lari.

“Bukan tugas kau untuk tanggung beban dia.”

Dia marah. Sebabnya? Aku kurang pasti. Aku memilih untuk mengunci bibirku untuk seketika. Aku tepis suasana janggal itu dengan seloroh ketawa yang tak kena.

“Okay, okay! Aku mengaku kalah, Abang Long!”

Aku mengangkat kedua-dua belah tanganku tanda menyerah diri.

“Aku faham, kau cuma nak jaga Mawar. Aku pun sama, aku ambil berat pasal dia.”

Dia diam. Mukanya kekal suram. Dia mengalihkan pandangannya semula menghadap mag kopi, menelan sejenis keluhan penuh misteri. Aku turut mengeluh di dalam hati. Aku anggap ini juga di antara sikap brother-complex terhadap Mawar, buta akan maksud sebenar di sebalik semua reaksi ganjil yang diberikan.

“Hei!”

Dengan tidak semena-mena, suatu suara yang tidak asing lagi bagiku menembus kafe kalis bunyi itu langsung ke otakku. Aku terus menoleh ke luar. Aku nampak Mawar sedang melambai-lambai tangannya dari seberang jalan.

Mawar mengenakan gaun tak berlengan separa lutut berwarna berbunga merah. Bahunya digantung beg tote kuning yang terayun-ayun di sisi pinggang. Serta-merta kelibat wanita misteri di dalam mimpi ngeriku terlayang di depan mata. Otot tubuhku kaku sesaat.

“Mawar dah sampai. Aku pergi jemput dia, okay?”

Aku cuba bersuara ceria sambil melemparkan senyuman panjang. Aku mahu abaikan petanda yang datang secara mendadak itu. Wajah yang semakin muram di depanku turut aku ambil pusing. Aku terus melangkah keluar.

Lampu isyarat pejalan kaki masih berkelip hijau. Mawar pula melangkah santai setapak demi setapak. Sambil merekah luas bibirnya ke arahku, dia menarik sedikit bahagian tepi gaunnya. Jalan besar itu mempunyai empat lorong, tapi waktu ini kereta yang ada hanya sebiji dua. Mungkin disebabkan itu, Mawar mula berputar manja seakan-akan cuba menari. Dalam masa yang sama, angin petang mula meniup sepoi-sepoi menyapa kami.

Déjà vu.

Dadaku berdegup kencang tanpa sebab. Rasa panik melonjak tinggi. Mataku tak lagi tumpukan perhatian kepada Mawar semata-mata, tapi liar menganalisa sekelilingnya. Ketika itu, di depan mataku sendiri, Mawar tersalah langkah. Dia bakal tersadung, tanpa menyedari ada sebuah van biru yang sedang dipandu laju ke arahnya dari selekoh kiri.

Waktuku retak.

Seakan ada satu kejutan elektrik yang memanar jantungku. Cahaya matahari petang itu terang, tapi panasnya mencengkeram nafasku. Paru-paruku seakan disumbat rasa abu. Rasa yang sama setiap kali aku berada di dalam mimpi ngeri itu.

Adrenalin mengambil alih tubuhku. Aku melompat tinggi melepasi pagar yang berbaris di tepi jalan, merentas tiga lorong jalan dengan satu pecutan lalu meraut pinggang Mawar ke seberang. Serentak, van biru itu menderu melepasi kami sambil menjeritkan hon tanda marah.

“Wah!”

Mawar terkebil-kebil. Kemudiannya gugup ketawa menyedari bahaya yang baru saja dilepasinya.

“Oh, saya ke yang cuai? Lepas ni memang kena tengok kiri kanan jalan betul-betul! Terima kasih, Ayang. Saya selamat!”

“Tak, bukan salah Sayang. Van tu yang patut berhenti. Lampu tu kan masih hijau.”

Ritual yang aku gunakan acap kali untuk memenangkan Mawar. Namun, tak dapat aku nafikan hakikat jantungku yang berpalu kuat menetak tulang rusukku, seakan-akan ada burung yang terperangkap di rangka dadaku. Aku kemudiannya merenung dalam-dalam telapak tanganku. Sangkaku basah kerana darah tapi bersih dengan peluh.

Selamatkan aku.

Suara wanita itu masih berlingkaran di gegendang telingaku. Apa ini? Amaran? Ramalan? Jadi, memang Mawar yang aku patut selamatkan? Aku hampir mengesahkan tekaanku, bila kedua telapak tanganku digenggam erat. Aku angkat kepalaku, bertaut dengan wajah Mawar yang penuh kerisauan.

“Ayang okey?”

Aku paksakan senyuman sebagai balasan. Aku tak tahu rupa yang macam mana yang aku paparkan di depan Mawar tapi Mawar hanya diam tanpa bertanya lanjut.

Aku berpaling pula mencari kelibat kawanku di seberang jalan. Aku sangkakan dia akan menjerit memarahi adiknya. Sebaliknya, dia berdiri kaku. Wajahnya pucat lesi. Matanya dikuncikan kepadaku. Walau dari jauh, jelas dadanya laju turun naik. Hela nafasnya terketar-ketar dengan ketakutan. Seolah-olah dia yang menghadap kematian itu sendiri.

Aku terpanggil untuk bersuara, tapi dia telah mulakan terlebih dahulu, menjerit dengan sekuat-kuat hatinya.

“ARYAN!”

Cukup hanya tiga saat, duniaku pula yang berkecai.

SATU. Telingaku menangkap bunyi logam yang nyaring berlaga ketika struktur skafolding di tapak pembinaan itu melerai di atas kepala kami.

DUA. Aku mendongak. Aku lihat batang penyokong besi yang berat patah akibat bebanan kren.

TIGA. Runtuhan-runtuhan besi dan konkrit sedia untuk menghujani aku dan Mawar.

Kami tak cukup masa untuk lari selamatkan diri. Aku putuskan untuk memeluk Mawar, memutarkan badannya untuk berada di bawahku. Mataku dipejam rapat-rapat. Dakapanku semakin erat. Asal Mawar selamat, biar belakang aku yang ranak dihempas runtuhan ini.

Telingaku dipekakkan dengan bunyi besi yang berlanggar dengan asfal jalanan. Gegaran impak itu seakan boleh memusnahkan bangunan. Tapi, rasa sakit yang aku jangkakan tak kunjung tiba.

Sebaliknya, sepasang lengan maha kuat merengkuh dadaku, dan melemparkan aku dan Mawar sejauh mungkin. Aku rasakan badan kami melayang di udara buat seketika sebelum runtuhan konkrit itu meradak tempat kami berada sebentar tadi.

Kami terhumban dan terhentak di suatu kawasan tak jauh dari situ, berguling-guling di dalam awan debu yang menyesakkan. Jeritan orang lalu lalang kedengaran di sana sini. Bunyi bingit penggera kereta memenuhi suasana. Beberapa brek kereta turut sama mendecit menyumbangkan lagi suasana histeria. Telingaku sendiri turut berdesing.

Dalam keadaan haru-biru itu, aku gagahkan badanku untuk bangun. Aku terbatuk-batuk bila sisa debu konkrit itu meruduk ke kerongkongku. Aku merangkak meraba-raba dengan gila mencari susuk kelibat Mawar. Bila saja jumpa, terus aku menariknya ke sisiku.

“Mawar! Buka mata awak, Mawar! Mawar!”

Mata Mawar terkatup rapat. Tanganku melingkar cemas ke seluruh tubuhnya, takut-takut dia terluka di mana-mana, atau mungkin dia terhentam sesuatu.

Aku mengamati keadaan sekeliling pula bila aku rasakan Mawar selamat. Mataku terkebil-kebil. Rasa pahit asap mencekik ruang mulutku. Aku tahu seseorang menarik kami keluar dari lubang maut tadi. Pasti dia. Jadi, dia mesti ada berdekatan. Aku mengimbas sekali lagi mencari bayang kawanku.

Tapi kali ni lain yang aku nampak.

Hanya beberapa meter dari kami, dia berlutut. T-shirt hitam yang dipakai koyak-rabak. Darah mengalir dari luka tangan kanannya yang bergores panjang. Tika ini juga, pandangannya hanya terkunci kepadaku. Air matanya yang mengalir membelah debu kelabu yang melitupi mukanya. Dadanya berombak tinggi. Dia termengah-mengah, tampak susah untuk bernafas.

Debu di sekeliling mula mendap. Dia mengesot perlahan-lahan merapati aku. Aku jangkakan raut wajahnya yang pucat dan terkejut. Akan tetapi, aku seperti sedang melihat cermin. Aku jelas nampak diriku sendiri yang sedang menggigil dalam panik.

Spontan, aku bertukar arah memandang Mawar. Tapi bukan Mawar lagi di dalam dakapanku. Sedikit demi sedikit wajah runcing Mawar membujur, menampakkan dagunya yang terbelah kecil. Rambut hitam Mawar bertukar merah dan aku perasankan tahi lalat di atas bibir Mawar, yang tak pernah ada sebelum ini.

Baru aku sedar, itu rupa wajah wanita misteri dari mimpi ngeriku. Tapi wajahnya seakan aku. Aku bingung. Aku berpaling menatap kawanku yang kini berada di hadapanku, meminta penjelasan.

“Apa ni? Aku tak faham…”

“Kau selamat, Aryan. Kau selamat juga akhirnya.”

Itu bukan jawapan. Aku semakin keliru bila kata-katanya itu membuatkan perutku mual. Aku pandang biji matanya yang bergetar, mencari jawapan. Hanya untuk ditenggelami dengan perasaan-perasaan yang aku tak faham. Rasa sesal, rasa seksa, rasa rindu ynag tiada tolok tandingnya. Lidahku semakin kelu.

Dia mengangkat tangannya yang masih berdarah mencapai wajahku. Perlahan-lahan dia mengacukan daguku ke arahnya sambil jemarinya mengusap lembut pipiku. Mulutnya masih terkumat-kamit mengulangi ayat yang sama seakan-akan membaca mantra.

Ketika itu, kunci kotak memoriku direntap ganas. Serpihan-serpihan imej dari masa rambang merombos keluar. Kelahiran demi kelahiran menyeruak sepantas kilat. Imbasan demi imbasan bercantum membentuk memori yang berkurun lamanya.

Sang Putera yang kacak dengan Si Dukun yang menawan.

Kisah mereka bermula dengan bunga-bunga cinta yang halus dan indah. Namun tiang cinta mereka dirobohkan dengan kemarukan kuasa dan hasad dengki berserta helah dan tipu daya. Kasih abadi bertukar tragedi.

Pergelutan mahkota diraja. Nyalaan api yang marak membakar. Sesakan dada dengan helaan terakhir.

Aku bukan pangeran wira yang cuba menyelamatkan puteriku dari frasa genting dalam mimpiku. Aku ialah wanita misteri itu. Aku, Si Dukun yang menyihir Sang Putera dengan sumpahan kekal untuk berkurun lamanya. Sang Putera yang gah tapi naif dalam pemikirannya, yang akhirnya merobek hatiku dan menghancurkan hidupku. Aku mahu dia hidup terseksa selama-lamanya.

“Putera kesayanganku. Andainya Tuanku disuakan dengan kematian kesayangan Tuanku, adakah Tuanku akan selamatkan jiwanya? Berjuang segala upaya, membumbung berkali-kali?”

Jenaka Si Dukun pada suatu pagi. Santai saja, tapi kini ia memerangkap Sang Putera ke neraka jahanam. Janji telus lagi suci yang cuma menyayat batin Sang Putera tiada kesudahan.

Sekarang, semuanya masuk akal. Layanannya yang terlebih, reaksinya yang aneh, serta perasan demi perasaannya yang tak dapat aku rungkaikan. Semuanya ditujukan kepadaku.

Dia hidup meranduk lautan masa. Dia mengemudi takdirnya sendiri untuk berada di sisiku. Dia bertarung nyawa dan gagal berulang kali untuk aku kekal berdiri di dalam dunianya. Tanpa berjaya menadah kemaafan dariku.

Wajahnya berlinangan air mata, menanggung beban sengsara yang tak akan aku rasai. Aku tahu dia menyesal. Aku tahu dia setia. Rindu, sunyi, aku tahu semua itu. Tapi memori yang terbentang di mindaku kurasakan seakan sebuah filem yang ditayangkan di hadapanku. Aku simpati dengan dirinya tapi aku tak dapat menyelami realitinya.

Aku ada Mawar dalam dakapanku, masakan aku mampu membalas segala apa yang diinginkan Sang Putera di depan mataku.

Air mataku mula turut bergenang. Aku gerakkan pita suaraku menyeru namanya, tapi ia rasa lain. Aku rasa… jauh.

“Mizan.”

Dia diam.

“Putera Mizan.”

Badannya terhinjut. Menyedari keadaan itu, suaraku pecah.

“Aku minta maaf.”

Aku tak dapat berikan apa yang kau nak. Air mataku luruh. Aku ingin peluk kau tapi… Aku ketatkan peganganku di bahu Mawar.

“Maafkan aku.”

Mendengarkan kata-kataku, empangan air mata Mizan ranap.

Barangkali, itu yang Mizan ingin ucapkan kepadaku selama ini. Mungkin kerana dia rasa dia tak layak, dia kekal diam. Cuma esakan yang tersedak-sedak yang dihambur keluar, seperti meluahkan semua emosinya yang terkurung buat berabad lamanya.

Pertama kali aku saksikan keadaan Mizan yang hiba. Rasa bersalah menyelubungi diri tapi aku hilang punca untuk berbuat apa-apa.

Dalam pada itu, Mawar mula membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Jari-jemarinya menggenggam lemah tanganku. Segera aku menghadiahkan satu ciuman di dahi Mawar. Mawar membalas dengan senyuman lembut, sebelum bertukar cemas sesaat dia melihat mataku yang bengkak.

Dia hanya menatap wajahku dalam diam, dan kemudiannya merapatkan wajahnya kepadaku. Dia kuncikan bibirnya pada bibirku. Kucupan penuh kasih itu serta-merta menenteramkan badai yang bergelora dalam jiwaku.

Aku nampak Mizan memerhatikan kami. Aku nampak bahu Mizan terkulai dengan kucupan kami. Kepalanya tertunduk layu. Dagunya rendah menyembah dada. Tangisannya menjadi sunyi. Cuma air matanya saja yang jatuh tanpa lelah basah membanjiri lantai.

Hati Mizan luluh, mengaku kalah.

Sambil memegang tangan Mawar, aku sedar akan sesuatu. Suatu kebenaran yang sangat kejam. Aku masih hidup. Mizan telah selamatkan aku. Tapi peluang untuk kami bersama telah pun terkubur sejak dari hari itu.

Sang Putera akhirnya berjaya memutuskan sumpahan rantaian maut, tapi dia gagal memerdekakan dirinya dari perangkap cinta abadi yang takkan terbalas.

About the Competition

The Global Poetry and Creative Writing Competition 2026 by Hashtag Kalakar is a prestigious platform celebrating the art of storytelling and poetic expression. It welcomes diverse voices from around the world to share their unique narratives and creative insights. This competition seeks to honor the craft of writing, offering writers an opportunity to showcase their talents and connect with a global audience who appreciates the power of words.

We extend our heartfelt gratitude to Yuu Myieka for sharing "Jenaka Si Dukun" with us in the Global Poetry and Creative Writing Competition 2026. Your storytelling prowess and the emotions captured within your work resonate deeply, leaving an indelible mark on readers. Thank you for inviting us into your creative world and for contributing to the richness of this literary celebration.

About Hashtag Kalakar

Hashtag Kalakar is a creative platform dedicated to providing artists, writers, singers and other creative talents with opportunities to showcase their work and reach wider audiences through competitions, features and creative initiatives.

 
 
 

Recent Posts

See All
It is Not A Feeling - By Ruchira Fernando

Written By: Ruchira Fernando Category: Poetry Competition: Global Poetry and Creative Writing Competition 2026 Delving into the depths of human emotion, Ruchira Fernando presents "It is Not A Feeling

 
 
 
Away We Go - By Ruchira Fernando

Written By: Ruchira Fernando Category: Poetry Competition: Global Poetry and Creative Writing Competition 2026 In the poem "Away We Go," Ruchira Fernando takes readers on an imaginative journey throu

 
 
 
A Letter to Her - By Dulakshi Fernandopulle

Written By: Dulakshi Fernandopulle Category: Poetry Competition: Global Poetry and Creative Writing Competition 2026 Dulakshi Fernandopulle presents a poignant piece titled "A Letter to Her" in the P

 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page